Orang utan dan manusia Orang_utan

Lukisan kayu "Orang utan diserang Dayak" oleh Joseph Wolf.

Orang utan sudah ribuan tahun dikenali oleh masyarakat pribumi Sumatera dan Borneo. Ada kaum-kaum yang memburu mawas ini untuk makanan dan perhiasan, dan ada juga yang melarang pemburuan orang utan.[82]:66 Di tengah Borneo, adanya kepercayaan tradisional bahawa memandang muka orang utan membawa nasib malang. Ada pula cerita rakyat bahawa orang utan menculik dan mengawan dengan manusia,[82]:68 apalagi kisah-kisah pemburu digoda oleh orang utan betina.[82]:71

Orang Eropah mula sedar akan kewujudan orang utan seawal abad ke-17.[82]:68 Penjelajah Eropah di Borneo banyak memburu orang utan pada abad ke-19.[82]:65 Deskripsi persis orang utan pertama dilakukan oleh ahli anatomi Belanda Petrus Camper, yang memerhatikan orang utan dan pernah membedah beberapa spesimen.[82]:64

Tidak banyak yang diketahui tentang kelakuan mawas ini hinggalah kajian lapangan oleh BirutÄ— Galdikas,[83] yang menjadi tokoh berwibawa dalam ilmu orang utan.[84] Sewaktu tiba di Borneo, Galdikas menetap di sebuah pondok binaan kulit kayu dan atap jerami di tapak yang digelarnya Camp Leakey berdekatan tepi Laut Jawa.[84] Mengharungi pelbagai pancaroba, beliau menetap di situ selama 30 tahun lalu menjadi pembela nasib orang utan yang lantang memperjuangkan pemeliharaan habitat hutannya yang kian terjejas oleh pembalakan, penanaman kelapa sawit, perlombongan emas dan kebakaran hutan yang tidak semula jadi.[84]

Usaha-usaha pemuliharaan Galdikas bukanlah sekadar kata-kata, malah banyak bertumpukan pemulihan bagi banyak anak orang utan yatim piatu yang diserahkan kepada jagaan beliau.[84] Galdikas dibilang sebagai salah seorang "Leakey's Angels", di samping Jane Goodall dan Dian Fossey.[85] Menurut Tabung Alam Sedunia, orang utan Borneo kehilangan setengah daripada jumlah habitat sejak 1994.[86]

Sebuah cerita rakyat yang sering dilafazkan dalam budaya Sumatera dan Borneo adalah bahawa orang utan jantan menunjukkan tarikan seksual terhadap perempuan manusia, malah boleh bersetubuh dengan mereka secara paksaan.[87] Satu-satunya laporan serius (sungguhpun anekdot) tentang kejadian sedemikian ialah laporan Galdikas bahawa tukang masaknya diperkosa oleh orang utan jantan.[88] Namun begitu, orang utan berkenaan dibesarkan secara tawanan dan mungkin mengalami kecelaruan identiti spesies, malah persetubuhan paksa adalah kelaziman mengawan bagi orang utan pangkat rendah.[87]

Seekor orang utan betina diselamatkan dari sebuah rumah pelacuran di Desa Kareng Pangi, Kalimantan Tengah pada 2003.[89][90] Orang utan berkenaan dicukur dan dirantaikan untuk tujuan seksual.[90][91] Semenjak dilepaskan, orang utan yang diberi nama Pony ini tinggal bersama Yayasan Borneo Orangutan Survival[89] dan dipergaulkan semula untuk hidup bersama orang utan lain.[89]

Taraf di sisi undang-undang

Pada Disember 2014, Argentina menjadi negara pertama yang mengiktiraf hak undang-undang seekor primat selain manusia dengan memutuskan bahawa seekor orang utan bernama Sandra di Zoo Buenos Aires mesti dipindahkan ke tempat perlindungan Brazil untuk mendapat "kebebasan separa atau terkawal". Biarpun pejuang hak asasi haiwan mentafsirkan keputusan itu sebagai berkenaan bagi semua spesies haiwan dalam tawanan, namun pakar-pakar perundangan menganggap keputusan itu hanya berkenaan bagi mawas hominid atas dasar keserupaan genetik dengan manusia.[92]

Rujukan

WikiPedia: Orang_utan http://arts.anu.edu.au/grovco/Gorilla%20Biology.pd... http://www.environment.gov.au/tax/reo/index.html http://www.yorku.ca/arusson/Papers/GoI%20OU%20acti... http://www.aljazeera.com/news/asia-pacific/2012/03... http://www.alphadictionary.com/goodword/word/orang... http://www.antaranews.com/en/news/75425/stop-orang... http://www.bbc.com/news/science-environment-418488... http://www.cell.com/current-biology/fulltext/S0960... http://edition.cnn.com/2014/12/23/world/americas/f... http://www.eco-business.com/features/new-deal-for-...